Faisal AF 6 Intai Peluang Jadi Penyanyi Nasyid Solo



Muhammad Faisal Abdullah

AKUR dengan nasib dan ketentuan yang tak terduga, Faisal atau nama sebenarnya Muhammad Faisal Abdullah, 21 reda setelah disingkir pada konsert minggu keempat, Akademi Fantasia musim keenam (AF6). Pada konsert itu, Faisal menyanyikan lagu dendangan asal Halil Chik berjudul Joget Bunga Melati.

“Saya berpuas hati walaupun sudah tersingkir daripada AF6. Saya sudah buat yang sehabis baik. Pengetua (Ramli MS) memberitahu saya pada malam penyingkiran yang saya sudah ada peningkatan. Soal saya tersingkir atau tidak bukan persoalan yang harus menjadi tanda tanya,” kata Faisal yang pernah mencuba bakat menyertai pertandingan realiti Akademi al-Quran musim pertama.

Sesuatu yang pasti terus menjadi tanda tanya, apakah hala tuju yang bakal didepaninya selepas ini. Ingin terus memperjuangkan irama nasyid, Faisal enggan berganjak biar sedepa namun seiring dengan peredaran zaman, dia harus akur melakukan perubahan yang dirasakan sesuai. Niatnya menyertai AF6 sangat tulus, hanya ingin belajar mengenai ilmu nyanyian. Sebelum memasuki AF6, Faisal pernah menganggotai kumpulan nasyid Far East.

“Saya sempat setahun bersama Far East menerusi album keempat mereka. Saya bukan anggota tetap, saya hanya penyanyi sandaran untuk kumpulan itu. Saya tiada sebarang ikatan kontrak bertulis bersama Far East, hanya kontrak sesama hati. Makanya saya bebas untuk keluar daripada kumpulan itu pada bila-bila masa. Sebelum bersama Far East, saya pernah menganggotai kumpulan Mursyidin yang pernah memenangi pertandingan Marhaban Di Astro.

“Saya mula meminati nasyid sejak di bangku sekolah rendah lagi sehinggalah sekarang. Tujuan saya menyertai AF6 kerana ingin belajar ilmu seni suara pada peringkat yang lebih variasi. AF6 umpama batu loncatan untuk saya melakar nama dalam dunia seni. Dulu saya ada sedikit ilmu agama seperti bertaranum dan berqasidah, maka saya ingin belajar lebih lagi melangkaui ilmu agama itu. Selepas ini saya akan terus bernasyid.

“Insya-Allah kalau ada rezeki saya mahu tampil bernasyid secara solo. Nasyid akan terus menjadi keutamaan saya. Meneruskan irama itu bagaikan satu perjuangan kerana irama itu sudah sebati dalam diri saya. Tapi apa-apapun saya kena menanti rangka perancangan bersama Maestro. Kalau ada tawaran lain seperti mengacara apa salahnya jika saya mencuba.

“Pastinya apabila mendepani arus peredaran muzik, saya tidak boleh terus statik dengan irama nasyid itu, variasi perlu dilakukan. Mungkin saya boleh mempelbagaikan rentak nasyid dengan mengadunkan irama rock mahupun irama World Music,” kata anak keenam daripada tujuh beradik itu.

Dengan imej islamik yang ditampilkannya, pasti ada kekangan tertentu yang menuntutnya untuk tidak bebas melakukan sesuatu, contohnya dalam soal bergambar sesama bukan muhrim. Itu diakuinya, kerana ada batas tertentu yang perlu dihormatinya.

“Saya letakkan batas untuk tidak bergambar. Saya tidak kisah untuk berganding dengan mana-mana artis lelaki atau perempuan. Namun ada syarat yang harus saya letakkan apabila bergambar, ia tidak harus keterlaluan dan melanggar batas agama,” ungkapnya yang mengagumi Asri Rabbani.

Mengimbas kembali detiknya untuk menyertai AF6, ada syarat yang diletakkan keluarganya. Jelas Faisal, keluarga tidak membantah dirinya menyertai pertandingan itu, namun semuanya bertitik tolak kepada niat asalnya.

“Keluarga mempunyai persepsi berbeza ketika saya meluahkan hasrat untuk menyertai AF6. Mereka tidaklah membantah, namun bersifat tegas. Keluarga saya cakap, jika saya memasuki AF6 semata-mata mahu mengejar populariti, lebih baik saya lupakan hasrat itu. Niat saya hanya ingin belajar ilmu nyanyian apabila melangkah masuk ke AF6. Menuntut ilmu itu sampai bila-bila pun tidak akan bernoktah, tapi popular itu hanya bersifat subjektif dan kita boleh jatuh bila-bila masa,” kata Faizal yang pernah bercita-cita untuk menjadi polis suatu ketika masa dulu.

INFO

Nama: Muhammad Faisal Abdullah

Nama komersial: Faisal

Umur: 21 tahun

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Status: Bujang

Pendidikan rendah: Sekolah Rendah Kebangsaan Padang Tembak, Jalan Semarak (satu sekolah dengan Kefli AF3)

Pendidikan menengah: Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak.

1 comments:

Dapatkan panduan bina otot badan bagi lelaki supaya anda lebih tough dan macho....

Entri Menarik Hari Ini