Rumahtangga Farah Asyikin kecoh?

TANGGAL 12 Mei ini, genaplah setahun usia perkahwinan Farah Asyikin Zulkifli, 29, serta pasangannya, Dr Fariz Yahya, 30. Sebagaimana pasangan suami isteri lain, pastinya Farah juga mengharapkan rumah tangganya sentiasa aman dan berkekalan.

Namun apakan daya, dalam menuju angka setahun perkahwinan mahligai dibina atas dasar cinta terlebih dulu diuji Yang Maha Esa yang sememangnya sentiasa menduga makhluk-Nya sejauh mana kecekalan, ketabahan dan kesabaran mereka mengharungi setiap dugaan.

Dengan perasaan yang begitu berat dan hati yang berbelah bagi, penyanyi yang popular dengan lagu 1000 Penipuan ini akhirnya tewas daripada menyembunyikan terus masalah rumah tangga yang dihadapi ketika ini.

Tanpa setitis pun air mata, dengan tenang Farah mengakui hampir sebulan tidak tinggal sebumbung dengan suami.

“Benar, saya akui kami tidak sebumbung sejak sebulan lalu tetapi itu bukan bererti saya dan suami sudah bercerai. Berjauhan seketika, untuk memberi laluan kepada kedua-dua pihak mencari ketenangan diri sekali gus menilai kesilapan masing-masing.

“Terus terang, saya dan suami masih berusaha memperbaiki keadaan. Kalau ada kelapangan, kami keluar bersama. Dia pun kerap menjenguk dan menghubungi saya,” katanya.

Setiap rumah tangga yang bergolak pasti ada sesuatu yang mengguris perasaan yang menjadi puncanya. Namun Farah menolak kehadiran orang ketiga sebagai penyebab keretakan rumah tangga mereka.

“Wujud masalah dalam rumah tangga kami yang tidak dapat saya kongsi secara terbuka dengan orang ramai kerana ia terlalu peribadi. Biarlah ia menjadi rahsia hati saya. Apa yang pasti, ia langsung tiada kaitan dengan orang ketiga.

“Saya amat bersyukur tatkala terpaksa mengharungi saat getir ini, keluarga sangat memahami dan menyokong kerana mereka faham tiada siapa yang inginkan perkara sebegini berlaku lebih-lebih lagi terjadi kepada anak sendiri,” katanya.

Enggan terus dibelenggu masalah, Farah membiarkan hari-harinya dipenuhi pelbagai aktiviti seni antaranya dia baru saja selesai menyiapkan rakaman dan video klip single pertama untuk album keduanya, Tak Ingin Akhiri.

Lagu nukilan Azlan Abu Hassan dan lirik Sulu Sarawak ini dikatakan teramat peribadi buat Farah. Barangkali ia mampu merungkai segala persoalan yang bergolak di jiwanya mengenai perasaan dan keadaan rumah tangganya ketika ini.

“Ia mengisahkan harapan seorang wanita kepada suaminya dan saya pasti mana-mana wanita di dunia ini pasti mempunyai pengharapan terhadap suami mereka.

“Pun begitu, saya akui jalan ceritanya ada sedikit kaitan hinggakan tanpa saya sedar saya terlalu 'feel' menyanyikan lagu ini sewaktu merakamkannya,” katanya.

Mengenai konsep album kedua, jika album pertama yang diterbitkan Audi Mok mempertaruhkan lagu berteraskan muzik modern rock sebagai single dan juga 'trademark' dirinya, kemunculan kali ini bersandarkan lagu balada.

Apa yang mengubah pendiriannya sedangkan peminat menerima baik kehadirannya dengan konsep sedemikian hingga diberi jolokan 'Kelly Clarkson Malaysia'?

“Dulu ketika menghasilkan album pertama, saya bimbang apakah muzik saya akan diterima. Selepas kerap kali dimainkan di radio, sambutannya di luar jangkaan. Justeru saya yakin selagi sesebuah karya itu berkualiti, kreatif dan segar ia tetap mendapat perhatian dan sambutan baik daripada pendengar.

“Mengapa balada? Sebenarnya bapa yang beria-ia mahu saya menyanyikan lagu balada sekali gus memilihnya sebagai single pertama. Katanya, muzik yang saya ketengahkan dulu terlalu muda untuk orang tua sepertinya jadi dia teringin sekali hendak dengar saya menyanyi lagu balada untuk album kedua ini.

“Saya pula terfikir kenapa tidak saya mencuba? Malah melihatnya dari sudut positif kerana untuk menjadi penyanyi versatil, seseorang itu haruslah menguasai semua jenis lagu.

“Kebetulan sejak pertama kali mendengar lagu Tak Ingin Akhiri, saya sudah jatuh cinta dan ia membuatkan bulu roma saya meremang. Lagu ini bukan seperti lagu balada lain kerana ia mempunyai elemen dramatik dengan tiga `twist' berbeza di dalamnya.

“Begitupun, unsur rock tetap dikekalkan bahkan saya akan terus bekerjasama dengan Audi Mok. Selain ingin menimba pengalaman baru bekerja dengan beberapa komposer lain antaranya Ajai dan Aubrey Suwito,” katanya.

Baru pulang dari penggambaran video klip Tak Ingin Akhiri yang diadakan di Linggi, Negeri Sembilan baru-baru ini, Farah kelihatan cukup teruja menceritakan pengalamannya sehari suntuk menyiapkan video klip arahan Jason Chong itu.

“Seumur hidup saya tidak pernah berlakon tetapi di dalam video klip ini pengarah mewujudkan unsur drama apabila saya perlu menangis dan beraksi di samping model lelaki yang menjadi pasangan saya.

“Di dalam klip ini saya sebenarnya digambarkan sebagai roh yang sedang bercerita kekecewaan yang dilalui sepanjang bersama suaminya,” katanya.

Farah menambah, album ini bakal berada di pasaran sebaik selesai pembabitannya dalam program IKON yang berakhir sekitar September.

Jelas Farah, memang menjadi keinginannya untuk melihat album kedua segera menemui peminat namun apakan daya kerana IKON menuntut komitmen tinggi dari artis yang terbabit.

Sekadar mengimbas, sebelum IKON, Farah pernah menyertai program realiti Malaysian Idol diikuti One In A Million (OIAM). Kekerapan muncul dalam program realiti tidakkah dia bimbang digelar 'muka realiti'?

“Malaysian Idol dan One In A Million cukup berbeza dengan IKON kerana dua program itu disertai penyanyi amatur dan mereka menggunakan platform itu sebagai mengetengahkan bakat. Malah, peserta menyanyikan lagu orang bukan lagu sendiri.

“Sementara IKON membabitkan peserta yang terdiri daripada penyanyi profesional yang mana melalui tiket ini saya boleh gunakan untuk memperkenalkan kelebihan vokal, genre muzik dan lagu saya yang sesetengahnya tidak pernah diputarkan di radio.

“Program ini secara tidak langsung dapat mempromosikan artis terutama memasarkan bakat mereka lebih-lebih lagi penyanyi seperti saya yang kurang mendapat pendedahan di televisyen.

“Soal menang, siapa yang tidak mahu jadi juara, bukan? Tetapi bagi saya dapat memperdagangkan bakat sudah cukup baik selebihnya, kita serahkan kepada Tuhan,” katanya.

Sebagai pendatang baru, karier penyanyi yang dicalonkan Artis Baru Wanita Popular

ABPBH 2007 menunjukkan tanda positif walaupun jauh di sudut hatinya agak kecewa apabila album pertamanya tidak tercalon dalam Anugerah Industri Muzik (AIM), 3 Mei ini.

Pun begitu, minggu sudah Farah dikejutkan dengan berita gembira kerana dilamar sebagai duta jenama jam tangan terkenal, Roscani.

“Tidak lama lagi saya juga mulai sibuk dengan aktiviti yang diaturkan Roscani. Secara peribadi saya terharu kerana dalam ramai-ramai artis baru mereka meletakkan kepercayaan itu kepada saya,” katanya.

0 comments:

Entri Menarik Hari Ini