Filem aksi komedi Cicak-Man 2: Planet Hitam (C2PH)


Norman yakin kutipan baik walaupun hadapi saingan getir filem mega Hollywood dan faktor semasa

KEJAYAAN filem aksi komedi Cicak-Man 2: Planet Hitam (C2PH) memungut RM1.3 juta selepas empat hari tayangan membuka ruang untuk cereka arahan Yusry Abdul Halim itu muncul filem yang mampu melepasi angka RM3 juta kutipannya sepanjang tahun ini.

Judul yang melepasi angka terbabit setakat ini ialah Duyung, Evolusi KL Drift, Congkak dan Senario The Movie: Episode 1.


Walaupun tersasar daripada ramalan awal penerbitnya, Norman Abdul Halim, jumlah itu tidaklah mengecewakan.

Wujud beberapa faktor yang menyebabkan jangkaan asalnya tidak tercapai seperti musim hujan yang masih berterusan, persepsi mengenai kegawatan ekonomi serta saingan sengit daripada filem mega Hollywood.

“Cuaca memang memainkan peranan dalam memastikan orang ramai keluar menonton atau sebaliknya. Ketika C2PH ditayangkan, hujan lebat hampir setiap hari.

“Begitu juga dengan faktor kegawatan ekonomi membuatkan sesetengah daripada kita mengambil langkah berjimat cermat dalam berbelanja. Maknanya, jika mereka memilih filem Hollywood, seperti The Day The Earth Stood Still, maka minggu seterusnya barulah menonton filem Melayu,” kata Norman ketika dihubungi Isnin lalu.

Secara kebetulan, filem terbitan KRU Studios dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) yang menampilkan antara lain pelakon Saiful Apek, Yusry, Aznil Nawawi, Tamara Blaszenky dan Louisa Chong itu membuka panggung sama tarikhnya (11 Disember) dengan filem besar lakonan Keanu Reeves dan Jennifer Connelly.

Sememangnya, kata Norman, dua filem berkenaanlah yang dijangka menguasai panggung pada minggu terbabit.

“Justeru, kami amat berharap, selepas orang ramai menonton filem Hollywood itu, mereka beralih pula pada C2PH. Seandainya pada minggu kedua filem kami berjaya memungut kira-kira RM2 juta, maka ia masih lagi dalam landasan yang betul untuk menepati ramalan kutipan antara RM3 juta hingga RM4 juta,” katanya.

Cicak-Man pertama ditayangkan pada Disember 2006 dan mencatat kutipan kira-kira RM6.7 juta selepas tamat tayangan, seterusnya muncul antara filem Melayu dengan pungutan tiket tertinggi dalam sejarah filem Melayu.

Filem lain yang turut melepasi angka RM6 juta sebelum ini ialah Jangan Pandang Belakang, Sembilu II dan Lagi Lagi Senario.

Menurut Norman, mungkin agak sukar untuk filem susulan itu mengulangi pencapaian hebat filem pertama. Apatah lagi pada penghujung tahun ini, saingan daripada filem Melayu sendiri agak ketara apabila sebuah filem memasuki panggung pada setiap minggu.

Katanya, ketika dua filemnya yang terdahulu ditayangkan, Cicak-Man (7 Disember 2006) dan Duyung (6 Mac 2008), kedua-dua filem terbabit tidak berdepan saingan kuat, membolehkan mereka memungut kutipan agak tinggi. Filem C2PH pula bukan hanya menghadapi saingan filem Melayu lain, bahkan filem blockbuster Barat juga mula memasuki panggung sesuai dengan musim cuti.

Filem Melayu lain yang ditayangkan ketika ini ialah Los Dan Faun yang membuka tayangan pada 4 Disember, manakala pada 18 Disember, Histeria pula akan masuk panggung.

Tambah Norman lagi, promosi filem itu sendiri masih berterusan, hasil kerjasama syarikat penerbitan KRU Studios bersama Celcom. Cuma, mereka akan pertingkatkan lagi aktiviti bertemu peminat di pawagam yang menayangkan filem berkenaan, membabitkan pelakon dan karakter dalam filem itu seperti Cicak-Man dan Rrama.

Kutipan RM1.3 juta itu, kata Norman, sudah cukup menggembirakan KRU Studios dan GBSB, mengenangkan sambutan penonton filem tempatan ketika ini yang kurang menggalakkan.

“Kami amat bersyukur dengan pencapaian berkenaan. Siapa tahu, ia mungkin mendapat pungutan yang lebih teruk, terutama dalam keadaan sekarang ini. Bagi saya, C2PH mempunyai kekuatannya sendiri. Adiwira yang ditampilkan tidak boleh disamakan dengan superhero filem Hollywood. Cicak-Man seorang wira yang lawak. Gabungan aksi dan komedi itulah yang menjadi tunjang cerita ini,” katanya.

1 comments:

My Blog
http://www.wretch.cc/blog/markacey
Thanks for your share
Nice to meet you

Hsinchu, Taiwan

Entri Menarik Hari Ini