Persandingan Anak Amy Search (Nabila) Bernilai RM 1 Juta?


BERITA perkahwinan aktres Nabila Huda, anak perempuan tunggal rockers terkenal Amy Search yang dijadualkan bakal berlangsung pada pada 2 Disember ini sudahpun disebarkan kepada khalayak.

Namun begitu, sejak kad undangan perkahwinannya itu diterima pihak media, timbul satu persoalan di benak fikiran apabila lokasi persandingan yang dirancang di sebuah hotel bertaraf lima bintang sebelum ini telah diubah ke Pusat Komuniti, Bukit Damansara.



Mungkinkah, perubahan ini berlaku disebabkan baru-baru ini bapanya itu dikhabarkan telah kerugian hampir RM1 juta menerusi sebuah skim pelaburan yang turut membabitkan beberapa artis ternama lain dan ini menyebabkan kos bajet perkahwinannya terpaksa dikurangkan?

Justeru mungkinkah jumlah tetamu yang akan hadir di majlis mereka turut dikurangkan?

Mahu mendapatkan kepastian, Kosmo! telah menghubungi Nabila untuk menjelaskan situasi sebenarnya. Mendengar nada suaranya, jelas dia terkilan dengan spekulasi 'baru' yang diterimanya itu.

"Susah saya nak jawab pasal ini. Saya pun tak boleh nak cakap apa-apa. Macam ini, sebenarnya kami tidak mahu mengadakan persandingan secara besar-besaran. Saya lebih suka majlis yang sederhana sahaja.

"Berkenaan tentang perubahan lokasi persandingan saya, ia langsung tiada kaitan dengan masalah kerugian papa (Amy Search). Apalagi mahu mengurangkan jumlah tetamu yang hadir kerana merekalah penyeri majlis saya nanti.

"Cuma bila saya mahu menempah dewan di hotel itu pada tarikh yang saya inginkan (2 Disember), ia dah penuh.

"Jadi kami pun carilah lokasi lain pula. Lagipun kami pernah menyambut hari lahir ayah di sana, tak perlulah nak buat majlis di tempat yang sama lagi sekali," jelasnya.

Mesra dengan panggilan nama Abil, dia tahu, bapa kesayangannya itu tidak pernah menyusahkan dirinya dengan pelbagai masalah yang muncul.

Apa yang penting, Abil bahagia dengan kehidupan barunya nanti.

"Susah macam mana sekalipun, papa memang tidak suka mencampur-adukkan masalah dia dalam kehidupan saya.

"Sebab itu saya kata, antara masalah papa dan majlis perkahwinan saya, tiada kaitan langsung. Bayangkan, bila saya balik rumah, jika papa ada masalah, seboleh-bolehnya dia tidak mahu menceritakan apa yang berlaku kepada saya.

"Lebih-lebih lagi sekarang ini keluarga saya lebih selesa untuk tidak menceritakan masalah mereka kepada saya. Bimbang jika saya sedih, akan menjejaskan majlis saya nanti. Saya rasa terharu sangat.

"Kadang-kadang saya rasa, cukuplah dengan masalah papa yang datang bertimpa-timpa. Sedih rasanya bila setiap perkara yang berlaku, papa juga yang dipersalahkan. Berilah dia ruang untuk bernafas," ujarnya dalam nada sayu.

Kejutan di hari perkahwinan

Kata orang, menjadi anak pertama, apatah lagi anak perempuan tunggal yang akan melangsungkan perkahwinan, pasti ibu dan ayah yang akan bersemangat lebih untuk mengadakan majlis terbaik buat anak tercinta.

Namun Abil sedar, dengan pelbagai masalah yang berlaku sejak akhir-akhir ini, gadis ini tidak mahu membebani ibu dan ayahnya.

Kerana itu, Abil lebih selesa jika majlisnya diadakan secara sederhana. Tidak membebankan keluarga mahupun menjadi bahan bualan nakal umum.

"Saya lebih suka jika persandingan saya diadakan secara sederhana.

"Saya pun tak mahu terlebih bajet sehingga ia menjadi bahan mulut orang mengatakan yang kami ni menunjuk-nunjuk.

"Yang penting, majlis persandingan kami akan menjadi memori yang paling indah biarpun ia diadakan secara sederhana," luah Abil yang juga bersyukur kerana hampir seluruh keluarga membantunya dari segi persiapan perkahwinannya.

Dalam menanti detik-detik hari bahagianya, terasa gemuruh di jiwanya bila dia akan diberikan kejutan khas hasil idea daripada keluarganya di hari persandingannya nanti.

Langsung tidak tenang dengan perancangan 'rahsia' keluarganya itu, dia masih tertanya-tanya tentang apa yang bakal berlaku pada hari persandingannya itu nanti.

"Rasa tak tenang langsung bila papa dan mummy kata ada kejutan buat saya dan Edy. Saya sendiri tak boleh bayangkan apa yang akan berlaku nanti.

"Setakat upacara biasa-biasa tu, saya tahulah. Mereka berbincang bersama dengan perancang perkahwinan kami, Pak Abu.

"Tak kisahlah. Janji majlis saya nanti akan berjalan dengan lancar," ucap Abil berseloroh.

Menyentuh tentang perancangan bulan madunya pula, kata Abil: "Setakat ini kami tak merancang apa-apa lagi kerana masing-masing sibuk. Insya-Allah kami akan berbulan madu pada tahun depan."

Merah jambu penyeri majlis

Dua hari sebelum melangkahkan kaki ke pelamin, seperti jua bakal pengantin perempuan yang lain Abil tidak ketinggalan menjalani majlis katam al-Quran. Berlangsung dalam suasana penuh harmoni di kediaman bapa kesayangannya di Kota Damansara, bermula pukul 2 petang, majlis yang disempurnakan lagi dengan acara marhaban dan berzanji itu berlanjutan selama kira-kira tiga jam.

Penuh berseri dalam persalinan merah jambu rekaan Puri Pesona, wajah Abil tampak tenang saat mengalunkan suara menerusi bacaan ayat-ayat suci. Tetapi dalam hatinya siapa yang tahu?

Selesai majlis, Abil melontarkan bicara, "Syukur kepada Ilahi kerana majlis ini berjaya disempurnakan dengan lancar. Perasaan saya sangat teruja dan tidak sabar-sabar lagi, maklumlah lagi dua hari saya bakal menjalani akad nikah dan juga bersanding."

Mengulas mengenai majlis katam al-Quran tersebut, Abil berterus-terang mengatakan dia sebenarnya terasa agak gementar.

"Maklumlah saya bukan penyanyi yang biasa ditonton orang di atas pentas, jadi bila majlis katam al-Quran ini saya kena membaca ayat-ayat suci sambil diperhatikan ramai di atas pentas, saya akui agak gugup juga, tetapi saya akui ada melakukan latihan terlebih dahulu."

Menurut Abil, dia ada menuntut ilmu katam al-Quran dengan nenek sebelah bapanya, Hajah Fatimah, selain mengambil inisiatif sendiri bagi melancarkan bacaan ayat-ayat suci tersebut.

Jika pada kebiasaannya, bakal pengantin perempuan menjalani majlis katam al-Quran dengan mengenakan busana berwarna putih, tetapi berlainan pula dengan Abil yang tampil menyerlah dalam persalinan berwarna merah jambu.

"Abil pilih warna merah jambu sebab ia nampak ceria, lagi pun pada akad nikah dan bersanding nanti, kostumnya berwarna putih," ucap Abil yang menaruh harapan majlis akad nikah dan acara persandingannya nanti turut berjalan lancar.

0 comments:

Entri Menarik Hari Ini