Akhil Hayy Mengaku Waheeda Isterinya


SETELAH sekian lama asyik menepis spekulasi dan persoalan ramai tentang hubungan sebenar mereka, penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy akhirnya membuat pengakuan bahawa penyanyi popular, Waheeda adalah isterinya.

Lebih setahun kisah ‘panas’ mereka hebat diperkatakan. Dalam tempoh itu, banyak juga kenyataan yang dikeluarkan oleh Waheeda dan Akhil sendiri berikutan isu mereka dikatakan telah berkahwin dan Waheeda menjadi isteri kedua Akhil.

Enggan menyembunyikannya lagi, Akhil akhirnya mengaku tentang ’status’mereka itu.

“Saya ingin membuat pengakuan di sini bahawa Waheeda adalah isteri saya…tetapi hanya di dalam program Cafe Akhil Hayy untuk musim kedua,” kata penceramah bebas berusia 39 tahun itu yang ditemui pada majlis pelancaran program itu di Ampang, semalam.
Ternyata ‘gimik’ yang dibuat oleh Akhil itu agak mengejutkan media yang hadir di majlis tersebut yang rata-ratanya merasakan mereka akan membuat satu ‘pengumuman’ istimewa di situ apatah lagi bila melihat ibu bapa Waheeda sendiri hadir ke majlis itu bersama anaknya.

Malah, sikap ’sporting’ yang dipamerkan oleh Waheeda dan Akhil yang akhirnya sanggup bergambar secara berdua pada majlis itu meyakinkan ramai media bahawa ‘pasangan’ ini mungkin sudah bersedia untuk ‘mendedahkan’ status sebenar mereka.

“Saya dah jangka pasti ramai wartawan yang beranggapan sedemikian. Memang benar Waheeda adalah isteri saya, tetapi itu adalah wataknya di dalam program Cafe Akhil Hayy kali ini.

“Waheeda membawakan watak bernama Hani Az-Zahra. Sebenarnya nama Waheeda dicadangkan sendiri oleh pihak Astro Oasis. Mungkin mereka melihat kredibilitinya sebagai penyanyi dan pelakon yang menampilkan imej Islamik dan pada masa yang sama, dia turut terlibat dengan aktiviti dakwah.

“Waheeda juga merupakan ‘facilitator’ di Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID)dan sebab itu saya rasa dia memang sesuai untuk turut serta dalam program ini. Kami digabungkan di dalam program inisekadar untuk berdakwah.

“Saya tahu dia mampu bawakan tugasnya dengan baik dan memang dia sendiri tahu apa yang perlu dilakukan terhadap wataknya itu,” kata Akhil berceritakan serba-sedikit tentang pembabitan Waheeda di dalam program berunsurkan dakwah dalam bentuk santai yang telah pun memulakan siaran pertama musim kedua ini pada Rabu lalu, pukul 7.30 malam di saluran Astro Oasis.


0 comments:

Entri Menarik Hari Ini