AC Mizal Mahu Saman Bekas Isteri


PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara AC Mizal berhasrat untuk menyaman bekas isterinya Shafnie Zainudin kerana kecewa dengan sikap wanita itu yang dianggapnya sudah “naik tocang”.
AC menerusi laman Facebook miliknya pada 10 Julai lalu meluahkan perasaan marah kepada seorang wanita yang tidak disebut nama tetapi dipercayai bekas isterinya.
Dalam Facebook itu AC meluahkan perasaan semakin dia berdiam diri, sikap wanita tersebut semakin menjadi-jadi.
“Lagi kita diam lagi dia naik tocang. Mahkamah dah larang, dia tetap nak buat. Dah dua kali di mahkamah dia kalah sebab tak ada bukti yang saya gagal membayar, dia failkan kembali. Nak tipu masyarakat sebab nampak baik?” luah AC kesal dengan peristiwa itu.



Shafnie
Menerusi Facebook tersebut AC turut menjelaskan dia mempunyai bukti tidak mengabaikan tanggung jawab terhadap dua anaknya iaitu Muhammad Shafiq Iman,13 dan Muhammad Shabil Iman,10.
Katanya, setiap nafkah yang diberi kepada dua anaknya itu disokong dengan resit-resit pembayaran.
Tambahnya apa yang dilakukan oleh wanita itu sudah melampau dan jalan terbaik ialah mengambil tindakan melalui saman.
AC juga meminta masyarakat yang tidak tahu cerita sebenar supaya berdiam diri dan lihat sahaja tindakan yang hendak diambilnya terhadap wanita itu.
“Kita tak nak mengaibkan tetapi kalau dah melampau, kau terimalah padahnya. Biar masyarakat tahu siapa sebenarnya yang menipu. Sembilan tahun aku tahan,” luahnya dalam laman sosial Facebook yang dibuka untuk para peminatnya itu.
Pada 6 Julai lalu, Shafnie menangis teresak-esak di Mahkamah Rendah Syariah, Kajang ketika menghadiri perbicaraan tuntutan nafkah anak apabila mengenangkan nasib dua anaknya pada masa hadapan, sekiranya sesuatu berlaku terhadap dirinya semasa mereka masih kecil.
Dalam perbicaraan itu bekas model tersebut menjelaskan jumlah perbelanjaan persekolahan yang dituntutnya sebanyak RM300 untuk dua orang anak setahun sememangnya tidak mencukupi.
Selain itu, Shafnie juga menuntut bayaran bulanan yang terdiri daripada makanan sebanyak RM400, pengangkutan (RM240), pengajian Al-Quran (RM280), sewa rumah (RM650) dan pembantu rumah sebanyak (RM200).
Dia juga menuntut bayaran pakaian sebanyak RM3,000 setahun yang meliputi pakaian sekolah, aktiviti ko-kurikulum kerana anaknya aktif bersukan dan menganggotai pengakap serta untuk kegunaan Hari Raya.
Turut dituntut ialah bayaran perubatan RM1,500 dan RM3,000 sebagai hiburan dan pelancongan.
Mahkamah dalam perbicaraan lain pada 13 Julai lalu menetapkan 4 dan 12 Oktober depan sebagai perbicaraan kes itu.
AC Mizal dan Shafnie berkahwin pada 24 Jun 1995 dan bercerai pada 17 Oktober 2001.-mstar

0 comments:

Entri Menarik Hari Ini