Keputusan Super Spontan Minggu ke 8 : Sathiya Tersingkir


Minggu ke 8 terus berpihak kepada kumpulan Angsa Ganas buat kali keempat berturut-turut apabila mereka sekali lagi diisytiharkan sebagai pemenang Super Spontan pada minggu ini.

Terdahulu, Sathiya dari kumpulan Beruang Comel terpaksa disingkirkan di awal rancangan akibat kekalahan mereka pada minggu lalu. Namun atas konsep “stabilizer” yang diperkenalkan dalam program Super Spontan, kumpulan Angsa Ganas terpaksa memilih seorang dari anggota kumpulan mereka untuk diserap masuk ke dalam Beruang Comel. Angsa Ganas kemudian sepakat untuk memilih Rahim R2 untuk diserahkan kepada Beruang Comel.

Kemasukan Rahim ke dalam Beruang Comel dilihat memberi sedikit harapan baru kepada kumpulan itu untuk bersaing di awal rancangan, namun nasib malang terus menimpa apabila undian SMS masih tidak memihak kepada mereka.

Kemenangan Angsa Ganas seperti biasa membolehkan mereka memenangi cek bernilai RM5000 yang diserahkan kepada Rumah Kebajikan Psiaku Azwar. Beruang Comel pula terpaksa memilih sekali lagi dikalangan mereka untuk disingkirkan.

Seperti biasa, 5 sketsa dipertandingkan pada minggu ini bermula dengan Soal Menyoal dan peserta harus berinteraksi dengan menjawab soalan dengan soalan.

Permainan kedua ialah Sketsa 2 Ayat, di mana 2 peserta perlu menggunakan dua ayat yang sama masing-masing untuk apa jua keadaan sementara seorang lagi bertindak selaku pencerita.

Permainan ketiga untuk minggu ini ialah Keluar Masuk. Empat peserta akan diberikan perkataan yang mewakili diri mereka, seterusnya mereka akan diberikan satu situasi dan apabila perkataan yang diwakili mereka disebut, mereka harus keluar atau masuk kembali ke dalam gelanggang.

Permainan keempat pula ialah Muzik Video Karaoke, pemain dari pasukan berlawanan harus mengikut arahan dari pengarah yang merupakan ahli kumpulan lain. Dan sebaik muzik dimainkan, mereka harus melakonkan aksi yang diarahkan berulang kali sehingga muzik tamat.

Permainan kelima dan terakhir dinamakan Laguku Untukmu. Dengan iringan muzik oleh kumpulan Ahmad Ahmad yang turut tampil membuat persembahan khas sebelumnya, setiap kumpulan harus menyanyikan lagu secara spontan berdasarkan tema yang diberikan.

Ikuti Super Spontan minggu ke 9, dan siapakah bakal disingkirkan dari Beruang Comel di awal rancangan itu nanti.

0 comments:

Entri Menarik Hari Ini