Tompokan Minyak Ditemui Semalam Bukan Dari MH370


SUDAH masuk hari ketujuh operasi mencari lokasi di mana pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dijalankan dan sehingga kini masih tiada petunjuk kukuh tentang di mana pesawat itu berada.

MH370 hilang selepas terputus hubungan dengan radar menara kawalan di Subang pada awal pagi Sabtu setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pasukan operasi mencari dan menyelamat menemui dua lagi tompokan minyak di Laut China Selatan kira-kira 60 batu nautika dari lokasi terakhir MH370 dikesan radar iaitu laluan di kepulauan Igari.

“Semalam, pasukan mencari menemui dua tompokan minyak di Laut China Selatan, arah selatan dari titik terakhir MH370 dikesan.. Tompokan pertama sudah dianalisis dan didapati mengandungi jumlah kecil bahan api pesawat.

“Tiada serpihan pesawat ditemui di kawasan berkenaan, kami yakin tompokan minyak itu bukan dari pesawat MH370.

“Tompokan kedua juga dianalisa dan didapati ia tidak mengandungi sebarang kesan ia adalah bahan api pesawat,” kata beliau dalam sidang media hari ini di Hotel Sama-Sama di Sepang hari ini.

Usaha mencari dan menyelamat kini melibatkan Malaysia bersama 13 buah negara yang sudi menggunakan aset mereka untuk membantu mencari pesawat yang dalam penerbangan ke Beijing dan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata operasi itu kini digiatkan dengan 57 buah kapal dan 48 buah pesawat dari pelbagai negara menjadikan ia operasi mencari dan menyelamat antara yang terbesar pernah dijalankan.

Operasi mencari dan menyelamat kini turut diperluaskan ke kawasan Lautan Hindi kerana petunjuk baru yang diperolehi oleh pasukan operasi dari Amerika Syarikat di sekitar kawasan itu.

Mereka menghantar kapal USS Kidd untuk meninjau petunjuk itu.

“Berdasarkan kemungkinan pesawat berkenaan itu berpatah balik seperti yang dimaklumkan oleh Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Tan Sri Rodzali Daud pada Sabtu lepas, bagaimanapun sehingga kini informasi berkenaan tidak dapat disahkan seratus peratus sebagai pesawat MH370.

“Disebabkan kemungkinan itu, pihak kami memperluaskan kawasan mencari ke Selat Melaka dan Laut Andaman,” katanya. – MYNEWSHUB.MY

0 comments:

Entri Menarik Hari Ini