Zatul Reda Keputusan Mohd (Mentor) Bebas Tuduhan Rogol


Peserta program realiti tv Mentor musim keenam, Zatul mengakui terkejut dengan kenyataan Juara Mentor keempat iaitu Mohd yang mengesahkan dirinya bebas daripada tuduhan merogol.

Zatul atau nama sebenarnya Noor Nazatul Farahin, 25, bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai perkara tersebut dan reda sekiranya keputusan berpihak kepada bekas teman lelakinya itu.

"Biar Allah sahaja yang tentukan. Saya tak tahu nak cakap apa lagi dah dan saya tidak mahu lagi komen berhubung perkara ini.

"Cukuplah saya dan keluarga mendapat malu. Beri saya ruang untuk meneruskan kehidupan saya," katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis.

Mohd atau nama sebenarnya Mohd Izwan Mohd Nor, 28, menerusi sebuah portal mengesahkan dirinya bebas daripada tuduhan merogol bekas teman wanitanya, Zatul.

Keputusan tersebut telah diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) yang bermaksud tiada tindakan selanjutnya oleh pihak polis dan ia boleh dirujuk di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya.

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan seorang lelaki yang juga juara program realiti televisyen telah di reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Jika disabit kesalahan, penyanyi berkenaan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mangsa yang dikatakan teman wanita penyanyi berkenaan dirogol kira-kira pukul 12.40 tengah hari pada 31 Januari 2013 di rumah pemuda tersebut di Ukay Perdaya, Ampang dekat sini.

Sementara itu, Zatul yang merupakan protege kepada pelakon dan pengacara, Fauziah Ahmad Daud (Ogy) berharap, selepas ini tiada lagi mana-mana pihak media menghubunginya bagi mengulas isu tersebut.

"Saya tidak mahu media telefon saya untuk bertanyakan kes (rogol) ini. Cukuplah dengan apa yang saya lalui kerana macam mana pun ia dilihat seperti tiada jalan penyelesaian.

"Apabila terjadinya perkara seumpama ini, yang buruknya tetap perempuan. Di dunia mungkin dia terlepas. Jadi, biarlah," ujarnya.

0 comments:

Entri Menarik Hari Ini